Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di
tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup
bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga
dalam banyak jemputan, dijemput bersama ‘spouses and partners’.
Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang
ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend
hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak
nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini
termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal;
penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.
Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan
cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta
Allah, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya
kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah
antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan
seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah
pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami
yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji,
bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.
Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan.
Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari
zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang
fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara
lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua
yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta
zaman mudanya.
Anti-Cinta
Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat
agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang
boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat
agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai
sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.
Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum
bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram’, punca syaitan dan budaya Barat
maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda.
Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku
kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih
yang diidami sebagai isteri.
Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata: “Kahwin
teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja,
belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa
pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama juga yang
sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun
selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan
sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin,
maka tentu mereka semua hambar.
Jatuh Cinta
Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang Allah dan
RasulNYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan
hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta
antara jantina yang berbeza adalah fitrah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia
arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman Allah mengenai
lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami:
(maksudnya)
“dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu
bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian
suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan
mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu
tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam
sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan
janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad
nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah
mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)
Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah
kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak
maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap
tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah
keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua
tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, Allah memerintahkan agar mengikut
peraturan yang ditetapkan.
Rayuan Cinta
Bahkan Nabi s.a.w pernah bersimpati dengan Mughith bekas
suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya
mendapat simpati Nabi s.a.w. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin
‘Abbas, katanya:
“Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith.
Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis
sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas:
“Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan
bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak
mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau
memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah:
“Aku tidak memerlukan dia”.
Nabi s.a.w tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta,
bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada
paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang
beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?
Dua Kekasih
Nabi s.a.w tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya
cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang
gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi
kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila
hal ini diberitahu kepada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta
seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).
Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini:
“Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati
kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan
untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh:
Maktab al-Imam al-Syaifii’).
Justeru itu, Nabi s.a.w memberikan pilihan untuk isteri
memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci.
“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu
bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi s.a.w
memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya)
(Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).
Haram
Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah
dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia
adalah fitrah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa
cinta seperti Mughith ungkapkan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta
seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan
juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?
Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun
dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta
yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah
insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa
manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana
fitrah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi
penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.
Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang
membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam
mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam
mengharamkan zina dan mendekati zina!


